fb fb fb fb fb

Rumah & kenderaan musnah, kebakaran hutan di barat laut Turkiye

Foto REUTERS

CANAKKALE, 12 Ogos – Puluhan rumah dan kenderaan musnah terbakar dalam insiden kebakaran hutan yang berlaku berhampiran pusat bandar Canakkale, di barat laut Turkiye.

Gabenor Canakkale, Omer Toraman berkata, ratusan penduduk dipindahkan serta-merta, termasuk dari kampus universiti, kawasan tentera dan kawasan perumahan yang terjejas.

Sekurang-kurangnya 50 orang mengalami kesan akibat terhidu asap, namun tiada kecederaan serius atau mengancam nyawa dilaporkan, setakat ini.

“Penduduk dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak perlu bagi memastikan laluan kecemasan sentiasa terbuka,” tegas Toraman menerusi hantaran di platform X.

Sebanyak 700 anggota penyelamat, termasuk anggota bomba, tentera dan perubatan, dikerahkan ke lokasi kejadian bersama pesawat, helikopter dan kenderaan penyembur air untuk mengawal kebakaran.

Rakaman dari lokasi menunjukkan helikopter mengambil air dari Selat Dardanelles untuk memadamkan kebakaran hutan, manakala kenderaan khas turut digunakan bagi mengawal api yang telah merebak ke beberapa bangunan kediaman.

Suhu di kawasan berkenaan mencecah 33 darjah celsius, dengan kelajuan angin mencecah 66 kilometer sejam, menurut Jabatan Meteorologi Turki, faktor yang menyukarkan lagi operasi pemadaman.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan cuaca panas ekstrem dan angin kencang yang melanda rantau berkenaan sejak beberapa hari lalu.- REUTERS

ROSLINA BINTI DIN