(Foto AFP)
JAKARTA, 15 Mac- Angka korban akibat tanah runtuh di pulau terpencil di Indonesia, kini meningkat kepada 50 orang.
Manakala empat lagi masih dilaporkan hilang pada hari terakhir pencarian, kata seorang pegawai pada Rabu.
Tanah runtuh pada 6 Mac lalu itu berlaku di pulau Serasan, di wilayah Natuna iaitu antara Borneo dan Semenanjung Malaysia.
"Sehingga semalam 50 mayat telah ditemukan, 49 daripadanya telah dikenal pasti manakala empat lagi masih hilang," kata jurucakap kerajaan tempatan, Patli Muhamad kepada AFP.
(Tanah runtuh pada 6 Mac lalu itu berlaku di pulau Serasan, di
wilayah Natuna iaitu antara Borneo dan Semenanjung Malaysia/Foto AFP)
Hampir 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan dipindahkan ke beberapa pusat perlindungan, menurut pihak berkuasa tempatan.
Para pegawai merancang mengadakan pertemuan hari ini bagi menentukan sama ada perlu melanjutkan operasi mencari dan menyelamat.
Sementara itu, tanah runtuh berikutan hujan lebat turut dilaporkan berlaku di bandar Bogor, di luar ibu kota Jakarta, lewat Selasa.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala empat lagi dilaporkan masih tertimbus, kata agensi pengurusan bencana negara itu.
Pakar berkata bencana berkaitan cuaca di negara tersebut berkemungkinan menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim.-AFP