fb fb fb fb fb

Konflik sempadan Thailand-Kemboja : Empat anggota Thailand terbunuh

Sekurang-kurangnya 24 terbunuh minggu ini / Foto AFP

BANGKOK, 13 Disember - Empat anggota tentera Thailand dilapor terbunuh dalam pertempuran terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surant Kongsiri memaklumkan kesemua anggota tentera berkenaan maut di Chong
An Ma.

Bercakap dalam sidang media, beliau turut mengesahkan sekurang-kurangnya 24 terbunuh minggu ini termasuk empat askar Thailand.

Kedua-dua pihak saling menunding antara satu sama lain kerana mencetuskan semula konflik sebelum Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan satu gencatan senjata telah dipersetujui.

Namun, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata Trump “tidak menyebut sama ada perlu melaksanakan gencatan senjata” ketika perbualan telefon pada Jumaat.

"Isu berkenaan tidak dibincangkan,"katanya kepada media pada Sabtu.

Trump sebelum itu menyatakan perbualan telefon bersama Anutin dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, 'sangat positif'.

“Mereka telah bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sempadan dan kembali kepada perjanjian asal keamanan yang telah dipersetujui pada Julai, demikian muat naik catatan Trump di platform Truth Social miliknya.

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlarutan kembali memuncak pada Julai lepas.

Bagaimanapun kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada Oktober ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Trump.

Namun, pertempuran kembali tercetus sehingga mengakibatkan kematian dan memaksa pemindahan ribuan penduduk.-AFP

FAUZIAH ABD RAHMAN