TUNIS, 13 Disember - Tokoh pembangkang Tunisia yang dipenjarakan, Abir Moussi dikenakan hukuman penjara tambahan selama 12 tahun, menurut peguamnya kepada AFP.
Keputusan mahkamah itu berkaitan dengan satu serangan yang didakwa bertujuan menimbulkan kekacauan.
Moussi yang telah ditahan sejak Oktober 2023 merupakan pengkritik lantang Presiden Kais Saied dan Ketua Ketua Parti Pembebasan Destourian.
Ini merupakan perbicaraan ketiga terhadap Moussi selepas dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada Ogos 2024 mengikut Dekri 54 dan Jun lepas, beliau sekali lagi dijatuhi hukuman penjara dua tahun di bawah undang-undang sama.
Rayuan bagi kes berkenaan, masih berjalan.
Keputusan mahkamah yang boleh dirayu itu hadir beberapa minggu selepas puluhan ahli politik serta perniagaan pembangkang dipenjara sehingga 45 tahun atas pertuduhan bersubahat menentang keselamatan negara dalam kes lain.
Pihak pembangkang mendakwa Kerajaan Saied mengenakan tekanan ke atas badan kehakiman untuk mendiamkan pengkritiknya.
Pada 2021, Saied mengukuhkan kuasa dengan menggantung parlimen yang dikuasai gerakan Islam Ennahda dan memecat Perdana Menteri, ketika itu.
Sekali gus, tindakan itu membawa kepada perundangan baharu yang jauh lebih lemah.
Saied yang memegang jawatan pada 2019 juga mengadakan referendum perlembagaan kontroversi, yang memberikannya kuasa lebih luas.
Sejak itu puluhan individu telah ditahan atas pertuduhan rasuah serta konspirasi menentang keselamatan negara, tuduhan yang didakwa pembangkang mempunyai motif politik.-AFP