MARIUPOL, 18 April - Puluhan mayat dirakam bergelimpangan dengan ditutupi selimut di jalan raya di bandar Mariupol, Ukraine pada Ahad.
Perkembangan itu berlaku ketika Moscow mendakwa tenteranya hampir menawan sepenuhnya bandar pelabuhan berkenaan.
Penduduk terselamat dirakam melintasi mayat itu semasa mereka meninggalkan kampung halaman mereka.
Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal berkata tentera negara itu masih bertempur pada Ahad mempertahankan bandar itu walaupun terdapat permintaan Rusia supaya menyerah.
Shmyhal berkata, askar Ukraine terus mengawal beberapa bahagian di tenggara bandar itu.
Pada Sabtu, Rusia mendakwa berjaya menguasai sebahagian besar bandar.
Menawan Mariupol akan menjadi hadiah strategik bagi Rusia, menghubungkan wilayah yang dikuasai oleh pemisah pro-Rusia di timur dengan wilayah Crimea yang ditawan Moscow pada 2014.-AFP