fb fb fb fb fb

Konflik Rusia-Ukraine: 12 orang maut dalam serangan di Dnipro

(Bangunan pangsapuri di Dnipro, Ukraine rosak teruk akibat
serangan peluru berpandu Rusia /REUTERS)

DNIPRO/KIEV, 15 Januari- Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam serangan peluru berpandu Rusia ke atas sebuah pangsapuri sembilan tingkat di bandar Dnipro, Ukraine.

Semalam Rusia bertindak melancarkan serangan terbaharu secara besar-besaran terhadap Ukraine termasuk infrastruktur tenaga di seluruh negara itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata jumlah mereka yang terkorban dalam serangan pangsapuri Dnipro mungkin meningkat. Beliau berkata tingkat dua hingga sembilan bahagian bangunan yang rosak itu telah runtuh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pejabat Zelensky, Kyrylo Tymoshenko turut memaklumkan 37 orang telah diselamatkan dari bangunan itu dan seramai 64 orang mengalami kecederaan.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus sepanjang malam dalam cuaca sejuk selepas serangan di Dnipro. Menurut pihak berkuasa tempatan orang ramai masih hidup di bawah timbunan besar serpihan bangunan.

"Mereka terus menghantar SMS," kata Timbalan Datuk Bandar Dnipro, Mikhailo Lysenko menerusi video di media sosial.

"Kami menghentikan kerja kami sekarang dan berdiam seketika, kami mendengar orang menjerit dari bawah runtuhan", katanya.


(Pasukan penyelamat menjalankan operasi di lokasi serangan,
sebuah pangsapuri di Dnipro, Ukraine/REUTERS)

Rusia turut melancarkan serangan terhadap infrastruktur kritikal di Kiev dan tempat-tempat lain.

Menteri Tenaga Ukraine berkata hari-hari akan datang menjadi lebih sukar dengan ancaman kepada bekalan elektrik, bekalan air dan pemanas pada kemuncak musim sejuk.

Dalam pada itu, Zelensky turut merayu kepada sekutu Baratnya untuk mendapatkan lebih banyak senjata bagi menamatkan keganasan Rusia dan serangan ke atas orang awam.

Dalam ucapan video saban malam, beliau mengulangi pendirian Kiev bahawa satu-satunya cara untuk menamatkan perang adalah di medan perang.

"Apa yang diperlukan untuk ini? Jenis senjata yang dimiliki oleh rakan kongsi kami dalam simpanan dan yang diharapkan oleh pejuang kami. Seluruh dunia tahu apa dan bagaimana untuk menghentikan mereka yang menyebabkan kematian," katanya.

Serangan pada Sabtu lalu, berlaku ketika kuasa Barat mempertimbangkan untuk menghantar kereta kebal tempur ke Kiev dan menjelangnya pertemuan sekutu Ukraine di Ramstein, Jerman pada Jumaat depan, di mana kerajaan akan mengumumkan ikrar terbaru mereka untuk memberi sokongan ketenteraan.

Serangan peluru berpandu Rusia turut menyasarkan infrastruktur di Kharkiv di timur dan Lviv di barat. Zelensky berkata wilayah Kiev dan wilayah Kharkiv telah mengalami gangguan bekalan tenaga elektrik paling teruk.

Sementara itu, Duta A.S. ke Ukraine, Bridget Brink dan sekutu Kiev yang lain mengutuk serangan Rusia hari Sabtu.

"Lebih banyak bantuan keselamatan akan datang untuk membantu Ukraine mempertahankan diri," kata Brink di Twitter.

Presiden Maia Sandu dari Moldova, bekas negara Soviet di barat Ukraine, juga mengecam serangan itu yang menyebabkan serpihan peluru berpandu berselerak di dalam sempadan negara itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan Rusia yang semakin hebat hari ini dan berdiri bersama mereka yang kehilangan orang tersayang di Dnipro dan seluruh Ukraine, kata Sandu.-REUTERS



Media Baharu