fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan

PUTRAJAYA, 11 Oktober -Kementerian Luar Negeri menasihatkan pihak yang ingin membuat perjalanan ke kawasan konflik agar menangguhkan perjalanan mereka selepas mengambil kira keadaan yang semakin kritikal susulan pertempuran antara Israel dan Palestin.

"Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada kementerian terlebih dahulu," menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Pada ketika ini, terdapat lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anaknya berada di Tebing Barat sambil menambah Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.

Susulan itu, Wisma Putra menasihatkan mana-mana pihak atau warga Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik agar menghubungi kementerian.

"Ini supaya bantuan bagi membolehkan bantuan dihulurkan sekiranya perlu," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengembom secara keterlaluan dengan sewenang-wenangnya di kawasan-kawasan awam sejak 7 Oktober lalu.

"Malaysia sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam dan kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik dan makanan," katanya lagi.

(Seorang lelaki berjalan dengan bendera Palestin, ketika rakyat Palestin bertempur dengan rejim Israel/FOTO REUTERS)

Wisma Putra menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada Isnin mengenai Palestin termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran.

Justeru, dalam konteks itu Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara itu.

"Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, katanya masyarakat antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.

"Rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan," tegas KLN.

Sebagai langkah awal, KLN dalam proses untuk menyalurkan RM1 juta untuk sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Pada Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri di Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan untuk menyalurkan sumbangan itu Di Dewan Rakyat.

Oleh itu, orang awam, agensi-agensi dan pertubuhan-pertubuhan yang ingin menyumbang melalui AAKRP boleh berbuat demikian di pautan https://forms.gle/PQiA5weQESnCB8pC8 .

Media Baharu