fb fb fb fb fb

Konflik AS-Iran: Majlis Keselamatan PBB adakan sesi tergempar

Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 23 Jun- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sesi tergempar semalam susulan serangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan nuklear Iran.

Dalam sesi tersebut, Duta Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani, mengecam tindakan berkenaan dan menuduh AS memanipulasi Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT) sebagai “senjata politik” untuk membenarkan pencerobohan dan tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau memberi amaran bahawa tindak balas Tehran akan ditentukan sepenuhnya oleh angkatan tenteranya, selain mengecam pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani sebagai bukti permusuhan berterusan AS terhadap Iran.

Pemangku Duta AS, Dorothy Camille Shea, mempertahankan serangan tersebut dengan mendakwa Iran terus menghalang rundingan dan menjadi ancaman yang semakin meningkat.

“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear,” tegasnya sambil menggesa majlis agar mendesak Iran menghentikan usahanya mendapatkan senjata nuklear dan mengakhiri ancaman terhadap Israel serta AS.

Duta Rusia, Vassily Nebenzia, pula mengkritik keras tindakan AS yang disifatkan sebagai mengabaikan saluran diplomasi antarabangsa.

Beliau turut memberi amaran bahawa Washington telah mencetuskan konflik yang berisiko mencorak krisis nuklear global.

Nebenzia menyeru gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada meja rundingan.

Cadangan berkenaan turut disokong China dan Pakistan menerusi draf resolusi yang diedarkan dalam sesi berkenaan.

Rusia, China dan Pakistan mengedarkan draf resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat di Asia Barat.

Teks draf itu turut mengecam serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, namun tidak menamakan secara langsung AS atau Israel sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Menurut para diplomat, anggota Majlis diminta mengemukakan ulasan selewat-lewatnya malam ini, namun tarikh undian bagi resolusi berkenaan masih belum ditetapkan.– REUTERS

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM