fb fb fb fb fb

Serangan AS: Penduduk berdekatan tapak nuklear Iran selamat

Foto fail Loji Kuasa Nuklear Bushehr, di Wilayah Bushehr/ REUTERS

TEHRAN, 22 Jun- Penduduk yang tinggal berhampiran tapak-tapak nuklear Iran yang terjejas susulan serangan udara Amerika Syarikat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Ketua Pusat Keselamatan Nuklear Iran, Mohammad Reza Kardan memaklumkan perkara itu dalam temu bual telefon bersama stesen televisyen negara, IRIB, pada Ahad.

"Malangnya, tindakan yang dilakukan oleh rejim Zionis, yang kemudiannya disusuli oleh kerajaan Amerika Syarikat pagi ini, tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah. Namun, saya ingin menyatakan bahawa selaras dengan langkah berjaga-jaga yang telah kami ambil serta perancangan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat, syukur kepada Tuhan.

"Walaupun serangan jenayah ini berlaku, tiada pencemaran radiasi atau pendedahan nuklear yang berlaku di luar kawasan tapak kami. Maka rakyat boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa kebimbangan," kata Kardan.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan bahawa serangan tersebut telah "menghapuskan" tiga tapak nuklear utama Iran, termasuk Fordow, dalam satu peningkatan besar konflik ketenteraan di Asia Barat.

Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) turut mengesahkan tiada peningkatan tahap radiasi di luar lokasi selepas serangan tersebut.

Serangan Amerika Syarikat itu dilihat sebagai satu peningkatan ketara dalam konflik bersenjata di Asia Barat, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai era baharu ketidakstabilan di rantau itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI