THE HAGUE, 22 Jun- Penduduk The Hague menyuarakan kebimbangan terhadap kawalan keselamatan yang dianggap ‘terlalu ketat’ menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun ini di bandar pesisir pantai tersebut.
Pihak berkuasa Belanda sedang melaksanakan operasi keselamatan terbesar dalam sejarah negara itu, bagi menjamin kelancaran sidang kemuncak NATO paling mahal setakat ini, dengan anggaran kos mencecah 183.4 juta euro (bersamaan kira-kira AS$210 juta).
Beberapa halangan keselamatan besar telah dipasang bagi menutup kawasan sekitar World Forum, lokasi penganjuran sidang, manakala kehadiran anggota polis bersenjata dilihat meningkat di kawasan sekitar.
Belanda telah melancarkan operasi yang dinamakan ‘Orange Shield’ untuk melindungi acara berprofil tinggi itu, dengan menempatkan helikopter tempur, rondaan laut, lebih 10,000 anggota tentera dan polis, pasukan pengesan bom serta sistem pertahanan udara.
Kira-kira 6,000 delegasi dan pemimpin dari 32 negara dijangka hadir ke sidang tersebut, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer, dalam acara yang dikawal rapi di World Forum, di sini.- REUTERS