TEHRAN, 23 Jun- Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pada Ahad menegaskan bahawa negara itu tidak pernah meninggalkan usaha diplomasi, sebaliknya menyatakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pihak yang menghancurkan rundingan yang sedang berjalan.
"Minggu lalu, kami sedang berunding dengan AS apabila Israel menggagalkan diplomasi itu. Minggu ini, kami mengadakan perbincangan dengan E3/EU apabila AS memutuskan untuk meledakkan diplomasi itu.
"Apakah kesimpulan yang akan anda buat kepada Britain dan Perwakilan Tinggi Kesatuan Eropah (EU) bahawa Iran yang mesti "kembali" ke meja rundingan. Tetapi bagaimana Iran boleh kembali kepada sesuatu yang tidak pernah ditinggalkan?," menurut hantaran di X.
Hantaran itu sebagai respons kepada gesaan Britain dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) agar Iran kembali ke meja rundingan susulan serangan Amerika Syarikat terhadap kemudahan nuklear Iran.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer sebelum itu menggesa Iran untuk kembali kepada meja rundingan dan menekankan bahawa kestabilan di rantau Asia Barat kekal menjadi keutamaan.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen turut menyuarakan pendirian serupa dengan menyatakan bahawa rundingan merupakan satu-satunya jalan untuk menamatkan krisis di Asia Barat, sambil menegaskan bahawa Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear.
Kenyataan-kenyataan itu muncul selepas serangan dilakukan Amerika Syarikat terhadap tiga tapak nuklear Iran, yang telah mencetuskan gelombang baharu ketegangan geopolitik di rantau tersebut.- REUTERS