BEIJING, 22 Jun- Pihak berkuasa China telah memindahkan ratusan penduduk di daerah Sangzhi, wilayah Hunan selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir dan menenggelamkan beberapa kediaman.
Rakaman yang disiarkan penyiar CCTV, menunjukkan serpihan kayu dan objek terapung dibawa arus banjir, manakala pasukan penyelamat menggunakan bot bagi memindahkan penduduk yang terjejas.
Di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan negara itu, pasukan penyelamat terpaksa meredah air banjir untuk memindahkan 40 pelajar yang terperangkap selepas sebuah kolej di bandar Hechi dinaiki air.
Pentadbiran Meteorologi China mengeluarkan amaran biru bagi hujan lebat pada Ahad, ketika kawasan selatan negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir kilat susulan cuaca ekstrem yang berterusan.- REUTERS