ZHEJIANG, 22 Jun- Ladang-ladang akuakultur di wilayah pesisir timur China kini memasuki musim tuaian musim panas yang menguntungkan, dengan hasil tangkapan ikan dan makanan laut mencapai jumlah menggalakkan.
Nelayan Ye Zhiqing berjaya menuai lebih 40,000 kilogram ikan dari Tasik Qiandao yang terletak di Daerah Chun’an, Wilayah Zhejiang, timur China.
"Saya anggarkan hasil tangkapan hari ini mencecah antara 40,000 hingga 45,000 kilogram, dan saiz ikannya juga agak besar. Spesies utama ialah ikan tongsan besar (bighead carp), yang menyumbang kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan tangkapan.
"Ini menunjukkan tahun ini merupakan satu lagi tahun tuaian yang baik bagi nelayan tempatan," kata Ye Zhiqing.
Kemeriahan musim tuaian turut menarik kehadiran ramai pelancong termasuk Zhang yang datang untuk menyaksikan sendiri suasana tersebut.
"Ia benar-benar satu pemandangan yang mengagumkan. Melihat usaha gigih para nelayan ketika menuai hasil ini membuatkan saya lebih menghargai setiap hidangan makanan laut," katanya.
Sementara itu, di perkampungan kecil Bili di Wilayah Fujian, para nelayan turut menikmati hasil tuaian abalon dengan lebih 30,000 tan hidupan laut yang diternak itu sedia untuk dipasarkan.
Kebiasaannya, proses tuaian dilakukan bermula pukul 7.00 malam hingga ke awal pagi. Waktu malam dipilih kerana suhu yang lebih sejuk meningkatkan aktiviti abalon serta menjamin kualiti isinya.
Selepas proses pengasingan, abalon yang dituai akan diagihkan ke pasar makanan laut dan pusat pemprosesan tempatan.- REUTERS