MUAN, 22 Jun- Seramai 15 individu kini disiasat atas dakwaan kecuaian berhubung insiden nahas pesawat penumpang Jeju Air yang membawa 181 penumpang termasuk enam anak kapal itu terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Disember lalu.
Menurut Polis Wilayah Jeonnam, nahas itu merupakan tragedi udara terburuk dalam sejarah Korea Selatan.
Siasatan melibatkan kakitangan daripada Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT), Perbadanan Lapangan Terbang Korea serta beberapa syarikat yang terlibat dalam pembinaan peralatan elektronik di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, lokasi nahas tersebut berlaku.
Polis sedang meneliti tahap kecuaian berhubung nahas itu untuk menentukan sama ada tangkapan perlu dilakukan terhadap kesemua 15 individu tersebut atau sebaliknya.
Pesawat penumpang yang membawa 175 orang penumpang dan enam anak kapal itu terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan kira-kira pukul 9.07 pagi waktu tempatan pada 29 Januari tahun lalu.
Penerbangan Jeju Air 7C2216 dari Bangkok, Thailand, dilaporkan terbabas dari landasan sebelum merempuh tembok luar lapangan terbang. Badan pesawat tersebut terputus dua dan terbakar akibat perlanggaran itu.
Pihak berkuasa mengesahkan seramai 179 mangsa maut dalam tragedi itu, manakala hanya dua orang dilaporkan terselamat daripada nahas berkenaan.- REUTERS