fb fb fb fb fb

Komuniti global gesa menghormati pelantikan Arevalo

Orang ramai bertembung dengan polis semasa protes menentang Kongres di Guatemala City, Guatemala/REUTERS

GUATEMALA, 15 Januari- Ketegangan semakin memuncak apabila pelantikan Presiden Guatemala Bernardo Arevalo ditangguhkan tanpa penjelasan. Namun delegasi bagi negara yang hadir untuk acara itu dan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) menggesa proses pelantikan itu perlu dihormati.

Penunjuk perasaan menolak penghadang dan mengancam untuk menyerbu Kongres Guatemala selepas kelewatan pelantikan presdien baharu yang tidak dijelaskan. Pelantikan Arevalo dijadualkan bermula pada pukul 3.00 petang waktu tempatan.

Polis dan pihak berkuasa turut hadir bagi mengawal keadaan berikutan rusuhan semakin banyak di jalanan.

Pihak Semilla Arevalo menghantar mesej di X pada pukul 4.00 petang mengatakan Arevalo secara rasminya adalah Presiden Guatemala, kemudian hantaran itu dipadam selepas beberapa minit.

Jurucakap Semilla memberitahu Reuters bahawa Arevalo berada di sebuah hotel di Bandar Guatemala.

Ketua Bantuan AS Samantha Power berkata "tiada pertikaian" bahawa Arevalo adalah Presiden Guatemala dan menyeru semua pihak untuk bertenang.

Menteri Luar Honduras Enrique Reina juga menggesa pelantiakan Arevalo perlu dihormati menerusi satu hantaran yang dikongsikan di X. Kenyataan itu bagi pihak delegasi yang hadir di Guatemala, termasuk daripada Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS) dan Kesatuan Eropah.

"Rakyat Guatemala menyatakan kehendak demokrasi mereka dalam pilihan raya yang adil, bebas dan telus, yang diperakui oleh masyarakat antarabangsa melalui misi pemerhatian pilihan rayanya. Kehendak itu mesti dihormati," kata Reina.

Mahkamah tertinggi Guatemala pada Ahad memutuskan bahawa Ahli Parlimen Parti Semilla tidak akan memegang jawatan yang bergabung dengan parti mereka tetapi hanya sebagai wakil bebas. Itu akan menghalang mereka daripada menyertai lembaga pengarah kongres dan melemahkan keupayaan presiden baharu untuk menggunakan kuasa.

Mahkamah berkata ia merancang untuk bertemu semula pada pukul 6.00 petang.

Arevalo, 65, yang berjanji untuk memulihkan demokrasi dan menghapuskan rasuah yang berakar umbi di Guatemala memenangi pusingan pilihan raya pada Ogos dengan kemenangan besar.

Dalam beberapa bulan selepas itu, peguam negara Guatemala dilihat sebagai sekutu Presiden Alejandro Giammattei dan telah memperhebat percubaan untuk memburukkan kemenangan Arevalo dan menghalang pelantikannya.

Peguam negara cuba melucutkan kekebalan undang-undang Arevalo dan Naib Presidennya yang dilantik Karin Herrera, menggantung parti Semilla dan membatalkan pilihan raya. Percubaan "rampasan kuasa", seperti yang disebut Arevalo menyebabkan puluhan ribu rakyat Guatemala ke jalanan.

Masyarakat antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, memberikan tekanan besar kepada pentadbiran Giammattei untuk meneruskan peralihan kuasa.

Kejadian yang melewatkan pelantikan Arevalo itu menunjukkan kedaulatan undang-undang Guatemala yang rapuh. Negara itu terdesak ke ambang krisis tadbir urus yang boleh mengehadkan keupayaannya untuk memerintah dan mengekalkan ikrar kempen bagi menghapuskan dan memerangi jenayah terancang serta mewujudkan pekerjaan baharu.

"Tindakan mengancam Arevalo dan ahli parti lain mungkin diteruskan," kata Ana Maria Mendez, pengarah Amerika Tengah Pejabat Washington mengenai Hal Ehwal Amerika Latin (WOLA), sebuah kumpulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun pejabat peguam negara menafikan ada cubaan rampasan kuasa dan mempertahankan tindakan yang dilakukan seperti dalam rangka kerja undang-undang Guatemala.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI