fb fb fb fb fb

Kishida akan melawat loji janakuasa nuklear Fukushima

(Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida/REUTERS)

TOKYO, 19 Ogos- Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida memaklumkan akan melawat loji janakuasa nuklear Fukushima pada hari Ahad, menjelang pelepasan air terawat yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Lawatan tersebut diadakan selepas beliau menghadiri sidang kemuncak tiga hala dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol di Washington.

"Pelepasan air terawat adalah isu yang tidak boleh ditangguhkan untuk mencapai kemajuan yang stabil dengan pembinaan semula Fukushima," katanya kepada wartawan Jepun semasa di Washington.

Beliau berkata kerajaan berada "diperingkat akhir" untuk membuat keputusan, namun beliau enggan mengulas mengenai masa sebenar pelepasan tersebut.

Beliau juga berhasrat untuk bertemu dengan Ketua Persekutuan Koperasi Perikanan Jepun yang membantah rancangan tersebut.

Rancangan Jepun untuk melepaskan air terawat daripada loji nuklear telah menimbulkan kebimbangan di negara jiran.

Ia juga mendorong China mengharamkan beberapa import makanan dan mencetuskan bantahan di Korea Selatan.

Pelepasan dilaporkan akan bermula seawal akhir bulan ini.


(Loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun/REUTERS)

Kira-kira 1.33 juta meter padu air bawah tanah, air hujan dan air yang digunakan untuk penyejukan sudah dikumpulkan di tapak Fukushima yang sedang ditamatkan operasinya, selepas beberapa reaktor runtuh susulan tsunami 2011 yang menyebabkan loji itu terjejas teruk.

Ruang simpanan hampir penuh, namun rancangan Jepun dan operator loji TEPCO untuk melepaskan air ke laut telah mendapat tentangan tempatan dan serantau.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata pelepasan itu akan memberi kesan "kecil" terhadap alam sekitar dan sama dengan pelepasan air dari loji nuklear di tempat lain.

Kerajaan Jepun telah beberapa bulan cuba untuk memberikan keyakinan umum di dalam dan luar negara, termasuk mengadakan lawatan sambil belajar serta kajian yang disiarkan secara langsung yang mengekalkan hidupan laut di dalam air terawat.

Sementara itu, China akan mengharamkan import makanan dari 10 wilayah Jepun, susulan rancangan itu dan melaksanakan ujian radiasi yang ketat terhadap makanan dari seluruh negara.

Selain itu, di Korea Selatan, kebimbangan orang ramai tentang rancangan tersebut kekal tinggi, namun kerajaan memaklumkan penilaian rancangan itu mendapati ia mengikut piawaian antarabangsa.-AFP

Media Baharu