fb fb fb fb fb

Kim Jong Un puji keperwiraan tentera Korea Utara di Ukraine

Gambar pada 20 Ogos 2025 yang dikeluarkan agensi rasmi Korea Utara, KCNA, melalui KNS pada 21 Ogos 2025 menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un (tengah kanan), memeluk komander utama unit operasi luar negara Tentera Rakyat Korea yang menyertai perang bersama Rusia, ketika di ibu pejabat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea di Pyongyang./Foto REUTERS

PYONGYANG, 21 Ogos – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, memuji tenteranya yang ditempatkan di Rusia bagi membantu perang menentang Ukraine, dalam satu pertemuan dengan komander tentera, lapor agensi berita rasmi KCNA pada Khamis.

Jong-Un menyampaikan pujian tersebut kepada pegawai serta anggota yang berkhidmat di wilayah Kursk, kawasan yang didakwa oleh perisikan Barat dan Korea Selatan menempatkan lebih 10,000 askar Korea Utara.

“Angkatan kita adalah perwira. Tentera kita kini sedang melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, dan akan terus berbuat demikian pada masa hadapan,” kata Kim dalam ucapannya di Pyongyang.

Kenyataan itu dibuat ketika Presiden AS, Donald Trump, giat berusaha untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine selepas mengadakan rundingan dengan pemimpin kedua-dua negara.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang sebelum ini turut memuji tentera Korea Utara sebagai perwira bagaimanapun masih enggan bersemuka dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam rundingan damai.

Hubungan Moscow-Pyongyang semakin rapat sejak kedua-dua negara menandatangani pakatan pertahanan bersama tahun lalu ketika lawatan Putin ke Korea Utara. Pada April, Pyongyang buat kali pertama mengesahkan penghantaran tenteranya ke barisan hadapan di Ukraine bersama pasukan Rusia.

Menurut perisikan Seoul, lebih 600 askar Korea Utara terbunuh dan ribuan lagi cedera ketika bertempur selain turut menghantar artileri, peluru berpandu dan sistem roket jarak jauh. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD