fb fb fb fb fb

Maduro kecam kehadiran tentera AS di Caribbean

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro/Foto REUTERS

CARACAS, 21 Ogos – Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, pada Rabu mengecam penempatan tentera Amerika Syarikat (AS) di Caribbean, sambil menyifatkannya sebagai ancaman kepada keamanan serantau dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Berucap pada sidang kemuncak ALBA-TCP yang turut disertai pemimpin negara serantau, Maduro menuduh Washington menggunakan operasi antidadah sebagai alasan untuk campur tangan, dan mengaitkan Venezuela dengan keganasan secara tidak berasas.

Pada sidang kemuncak itu, kesemua pemimpin yang hadir mengeluarkan kenyataan bersama menolak kehadiran tentera AS dan menuntut penghormatan terhadap kedaulatan negara-negara di rantau berkenaan.

Maduro turut menggesa penamatan segera ancaman ketenteraan serta pematuhan Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Rabu, dua sumber mendedahkan AS telah menghantar skuadron amfibia, termasuk kapal USS San Antonio, USS Iwo Jima dan USS Fort Lauderdale, dengan 4,500 anggota tentera.

Armada itu dijangka berada berhampiran perairan Venezuela selewat-lewatnya Ahad (24 Ogos).

Pentadbiran Presiden Donald Trump mendakwa misi itu menyasarkan kumpulan yang digelar sebagai “organisasi narkoterorisme,” sebagai sebahagian daripada usaha membanteras kartel dadah dan mengukuhkan kawalan sempadan selatan AS. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD