fb fb fb fb fb

Peta baharu pilihan raya Texas: Demokrat cabar di mahkamah

Bangunan Capitol Texas lokasi pertikaian persempadanan semula antara ahli parlimen negeri Republikan dan Demokrat di Austin, Texas, Amerika Syarikat./Foto REUTERS

AUSTIN, 21 Ogos – Ahli Demokrat di Texas pada Rabu berikrar untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap peta baharu kawasan kongres yang disokong Presiden Donald Trump yang diluluskan badan perundangan negeri itu.

Dewan Perwakilan Texas meluluskan peta persempadanan semula itu dengan undian 88 berbalas 52.

Peta berkenaan bertujuan merampas lima kerusi Dewan Perwakilan AS yang kini dikuasai Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.

Proses persempadanan semula pertengahan dekad yang jarang dilakukan itu dilaksanakan atas desakan Trump, yang mahu meningkatkan peluang Republikan mengekalkan majoriti tipis di Kongres.

Pengerusi kaukus Demokrat, Gene Wu, mengecam taktik berkenaan sebagai bukti “rasuah politik.”

Manakala wakil Nicole Collier menggesa rakan-rakannya “terus berjuang sehingga menguasai negara ini.”

Republikan berjaya membawa usul itu ke pengundian selepas puluhan wakil Demokrat menamatkan tindakan keluar dewan selama dua minggu yang sebelum ini menghalang jumlah yang diperlukan.

Selepas mendapat kelulusan Dewan dan Senat negeri, peta tersebut akan dihantar kepada Gabenor Greg Abbott, yang dijangka menandatanganinya.

Wu menegaskan tindakan undang-undang akan difailkan sebaik sahaja ia diwartakan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD