fb fb fb fb fb

Israel lulus projek penempatan haram, ancam negara Palestin

Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 21 Ogos – Israel pada Rabu meluluskan projek penempatan haram berskala besar di kawasan sensitif dalam wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Rancangan berkenaan sekali gus mencetuskan kecaman antarabangsa kerana dianggap mengancam kelangsungan pembentukan negara Palestin pada masa depan.

Projek itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 12 kilometer persegi di kawasan dikenali sebagai E1, terletak di sebelah timur Baitulmaqdis.

Pelan pembangunan itu telah tertangguh selama bertahun-tahun akibat tekanan antarabangsa, namun kerajaan pelampau kanan pimpinan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich baru-baru ini mempercepatkan rancangan untuk membina sekitar 3,400 unit rumah di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengutuk tindakan tersebut dan menegaskan projek berkenaan akan “membelah Tebing Barat kepada dua bahagian” dan menjadi “ancaman" terhadap penyelesaian dua negara.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Ramallah mengecam keras langkah itu, dengan menyatakan ia menghalang pembentukan negara Palestin yang berdaya maju.

“Tindakan ini memecahbelahkan Tebing Barat menjadi kawasan terasing, seakan-akan penjara terbuka yang dikawal sepenuhnya oleh rejim Israel dan pendatang haram bersenjata,” kata Kementerian Luar PA dalam kenyataan.

Israel juga terus menyekat pergerakan penduduk Palestin di Tebing Barat, memaksa mereka memohon permit khas untuk melalui pusat pemeriksaan jika mahu masuk ke Baitulmaqdis Timur atau ke Israel.

Guterres sekali lagi menggesa Israel untuk “segera menghentikan semua aktiviti penempatan”, sambil memberi amaran projek E1 ini bakal menjadi penghalang besar kepada penyelesaian dua negara.

Menteri Luar Britain, David Lammy, turut mengecam rancangan itu sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa.

Raja Jordan, Raja Abdullah II, turut menentang projek itu sambil menegaskan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan menyeluruh.

Keganasan di Tebing Barat terus meningkat sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.

Sejak itu, tentera dan pendatang Israel membunuh sekurang-kurangnya 971 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk ramai pejuang bersenjata, menurut data kementerian kesihatan.

Aviv Tatarsky, penyelidik dari NGO Israel Ir Amim, mengecam kelulusan projek E1 itu.

“Langkah ini membuktikan betapa Israel bertekad melaksanakan rancangan strategik seperti yang disebut oleh Menteri Smotrich untuk menguburkan prospek penubuhan negara Palestin dan mengilhak Tebing Barat,” katanya.

“Ini adalah keputusan sedar Israel untuk melaksanakan rejim apartheid,” tambahnya sambil menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera dan tegas.

Beberapa menteri pelampau kanan Israel sebelum ini secara terbuka menyeru supaya Israel mengilhak sepenuhnya wilayah Tebing Barat.

Selain Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat kini menempatkan kira-kira tiga juta penduduk Palestin serta sekitar 500,000 pendatang haram Israel yang terus merampas tanah mereka. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD