fb fb fb fb fb

Texas lulus peta pilihan raya baharu, Republikan sasar rampas 5 kerusi Demokrat

Foto REUTERS

AUSTIN, 21 Ogos - Badan perundangan Texas pada Rabu meluluskan peta baharu kawasan kongres negeri yang digubal atas permintaan Presiden Donald Trump bagi merampas lima kerusi Dewan Perwakilan AS yang kini dikuasai Demokrat menjelang pilihan raya pertengahan penggal tahun depan.

Pengundian itu tertangguh dua minggu selepas lebih 50 wakil Demokrat keluar dewan berkenaan bagi menggagalkan usaha persempadanan semula pertengahan dekad yang jarang berlaku.

Republikan yang menguasai politik Texas lebih dua dekad melaksanakan proses persempadanan semula pertengahan dekad, bagi meningkatkan peluang parti mengekalkan majoriti tipis di Dewan Perwakilan AS.

Peta baharu itu membahagikan lima kawasan yang mesra Republikan, dan diluluskan dengan undian 88-52.

Selepas mendapat kelulusan dewan, ia kini menuju ke Senat negeri sebelum dihantar kepada Gabenor Republikan Greg Abbott.

Langkah Texas mencetuskan “perang peta” di seluruh negara, dengan Trump mendesak negeri-negeri Republikan lain mencontohi usaha itu.

Antara negeri yang menjadi sasaran termasuk Ohio, Missouri, Indiana, Florida, New Hampshire dan Carolina Selatan.

Sebagai tindak balas, California memperkenalkan tiga rang undang-undang untuk membawa isu peta baharu ke referendum November ini, dalam usaha mengimbangi langkah Texas.

Ahli Demokrat, Chris Turner, menyifatkan langkah tersebut sebagai “pelanggaran jelas Akta Hak Mengundi dan Perlembagaan,” manakala penaja peta Republikan, Todd Hunter, menegaskan tujuan utama adalah “meningkatkan prestasi politik Republikan.”

Gabenor New York, Kathy Hochul, pula menyifatkan persempadanan semula Texas itu sebagai satu bentuk “pemberontakan undang-undang.”

Di AS, persempadanan semula lazimnya dibuat setiap 10 tahun selepas banci penduduk, namun tindakan melakukan persempadanan semula pada pertengahan dekad dianggap luar biasa.

Dalam banyak kes, persempadanan semula sering digunakan ahli politik untuk memanipulasi kawasan pilihan raya demi kelebihan parti masing-masing, satu amalan dikenali sebagai gerrymandering. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD