WASHINGTON, 21 Ogos – Pertubuhan Hak Asasi Antarabangsa,Amnesty International menuduh pihak berkuasa Amerika Syarikat menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada syarikat Palantir dan Babel Street bagi memantau pendatang serta menyasarkan warga asing yang menyertai demonstrasi menyokong Palestin.
Menurut kajian berdasarkan dokumen awam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), perisian daripada firma berkenaan membolehkan pengawasan besar-besaran serta penilaian terhadap individu, khususnya bukan warganegara AS.
“Kerajaan AS menggunakan teknologi AI yang invasif dalam konteks agenda besar-besaran pengusiran dan penindasan terhadap ekspresi pro-Palestin, yang membawa kepada pelbagai pencabulan hak asasi manusia,” kata pengarah Amnesty, Erika Guevara-Rosas.
Amnesty mendakwa langkah itu menyebabkan corak penahanan tidak sah dan pengusiran besar-besaran, sekali gus mencetuskan suasana ketakutan dalam kalangan komuniti pendatang serta pelajar antarabangsa di kampus.
Siasatan organisasi itu mendedahkan AS menggunakan sistem dikenali sebagai inisiatif “Catch and Revoke” (tangkap dan mansuh) yang merangkumi pemantauan media sosial, penjejakan status visa, dan penilaian automatik terhadap pemegang visa termasuk pelajar asing.
“Perisian seperti Babel X dan Immigration OS (oleh Palantir) memainkan peranan penting dalam pelaksanaan taktik menekan oleh pentadbiran AS,” tambah Guevara-Rosas sambil menggesa kedua-dua syarikat menghentikan kerjasama dengan kerajaan jika ia terus menyumbang kepada pelanggaran hak asasi.
Amnesty turut memberi amaran penggunaan AI itu berisiko memperkukuh kuasa Presiden Donald Trump untuk “mengusir golongan terpinggir sesuka hati.”
Sejak memulakan penggal kedua Januari lalu, Trump menjadikan protes mahasiswa khususnya yang disertai pelajar dan pensyarah asing sebagai isu politik.
Beliau menuduh universiti terkemuka AS bersifat berat sebelah dengan “politik woke” dan mengamalkan dasar antisemitisme, meskipun tanpa bukti.
Pentadbirannya juga melabelkan tunjuk perasaan kampus menuntut penghentian perang Israel di Gaza sebagai “antisemitik” serta bertindak mengusir pelajar dan pensyarah antarabangsa yang terlibat. - AFP