SEOUL, 19 Ogos – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menegaskan negaranya perlu segera memperluas keupayaan nuklear, sambil menyifatkan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan-Amerika Syarikat sebagai provokasi perang.
Agensi berita rasmi KCNA melaporkan, kenyataan itu dibuat ketika lawatan beliau ke sebuah kapal pemusnah tentera laut semalam.
Latihan tahunan Ulchi Freedom Shield yang berlangsung 11 hari itu turut melibatkan elemen nuklear, kata Kim, sambil mendakwa ia mencerminkan sikap bermusuhan Washington dan Seoul terhadap Pyongyang.
Sementara itu, tentera Korea Selatan memaklumkan, skala latihan tahun ini sama seperti 2024 namun 20 daripada 40 acara lapangan dijadual semula ke September, seiring usaha Presiden Lee Jae Myung meredakan ketegangan dengan Korea Utara.-REUTERS