TORONTO, 19 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Canada, Mike Rousseau, mempertahankan tawaran syarikat penerbangan itu untuk menaikkan pampasan sebanyak 38 peratus kepada kru kabin yang sedang mogok, walaupun protes masih berterusan di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson.
Kenyataan itu dibuat susulan penolakan kesatuan pekerja terhadap arahan lembaga buruh persekutuan supaya mereka kembali bekerja. Situasi tersebut mencetuskan kebuntuan tiga penjuru antara syarikat, pekerja dan kerajaan, sekali gus menjejaskan ratusan ribu penumpang.
Menteri Pekerjaan Kanada, Patty Hajdu, berkata tiada halangan bagi kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan, termasuk menggunakan khidmat pengantaraan.
Kru kabin menuntut kenaikan gaji lebih tinggi serta bayaran bagi masa yang dihabiskan ketika menaikkan penumpang dan tugasan lain di darat.
“Ketika ini, tuntutan kesatuan jauh lebih tinggi daripada 40 peratus. Kita perlu mencari jalan bagi merapatkan jurang itu. Kami sentiasa terbuka untuk berbincang,” kata Rousseau kepada Reuters.
Namun, pemimpin kesatuan menegaskan sanggup berdepan hukuman penjara daripada membenarkan kru kabin dipaksa kembali bekerja.
Rousseau menyatakan rasa terkejut kerana kesatuan enggan mematuhi undang-undang, sedangkan Lembaga Perhubungan Perindustrian Kanada (CIRB) telah mengisytiharkan mogok itu sebagai tidak sah.
Kesatuan Pekerja Awam Kanada pula bertegas mogok akan diteruskan sehingga Air Canada bersetuju berunding mengenai isu gaji dan kerja tanpa bayaran. Kesatuan mendakwa tawaran syarikat hanya melibatkan kenaikan sebenar sebanyak 17.2 peratus dalam tempoh empat tahun.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, turut merayu agar pertikaian itu diselesaikan segera. Ledakan sektor pelancongan domestik sedikit sebanyak mengurangkan kesan ekonomi akibat tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, namun Air Canada sebagai syarikat penerbangan terbesar negara tetap berdepan tekanan.- REUTERS