fb fb fb fb fb

Jaminan keselamatan Ukraine dimuktamadkan dalam tempoh seminggu

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin/Foto AFP

WASHINGTON, 19 Ogos - Jaminan keselamatan bagi Ukraine dijangka dimuktamadkan secara bertulis dalam tempoh seminggu hingga 10 hari akan datang.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata ia susulan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan pemimpin Eropah di white House.

“Adalah penting bahawa AS menghantar isyarat yang jelas bahawa ia akan menjadi salah satu negara penyelaras dan juga peserta dalam jaminan keselamatan untuk Ukraine.

"Sebahagian daripada jaminan keselamatan yang bakal diterima Ukraine termasuk pakej bantuan ketenteraan dari AS. Bantuan itu akan meliputi pesawat tempur, sistem pertahanan udara, dan beberapa aset strategik lain," kata Zelensky.

Beliau turut mengulangi bahawa Kiev bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Moscow,
namun begitu, tiada tarikh pertemuan telah ditetapkan setakat ini.

“Saya percaya ini merupakan satu langkah besar ke hadapan, urusan wilayah akan dibincangkan secara dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin," katanya.

Trump sebelum ini memberi jaminan bahawa AS akan menjadi antara negara yang membantu menjamin keselamatan Ukraine dalam sebarang perjanjian damai untuk menamatkan perang dengan Rusia.

Jaminan ini dilihat sebagai elemen penting bagi Ukraine dalam menghadapi ancaman ketenteraan Rusia yang masih berlanjutan di wilayah timur negara itu.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI