MINNESOTA, 19 Ogos – Empat kanak-kanak yang terkandas di atas batu di luar pesisir Black Beach Trailhead, Lake Superior berjaya diselamatkan.
Menurut kenyataan rasmi Pengawal Pantai Amerika Syarikat, kesemua kanak-kanak itu diselamatkan menggunakan helikopter MH-60 Jayhawk, pada Ahad.
"Helikopter dari Stesen Udara Traverse City itu tiba di lokasi dan menjalankan operasi menyelamat dengan mengangkat kesemua mangsa sebelum membawa mereka kepada pasukan perubatan kecemasan (EMS) yang telah bersiap sedia di kawasan lapang berdekatan.
"Kesemua kanak-kanak itu telah diperiksa oleh pihak EMS, dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini," menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika berkunjung ke kawasan pantai dan berbatu di sekitar Lake Superior, memandangkan keadaan persekitaran boleh berubah secara mendadak dan menjadi berbahaya, terutamanya berhampiran pesisir.
“Keadaan air dan pantai berbatu di Lake Superior sukar dijangka. Kami menggesa orang ramai agar mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu lagi. - AFP