fb fb fb fb fb

Kilang keropok beras terbakar, empat pekerja maut

GAMBAR FILE

TOKYO, 12 Februari- Empat pekerja maut dalam kebakaran di sebuah kilang keropok beras di Jepun.

Kira-kira 30 orang berada di lokasi ketika kebakaran berlaku di wilayah utara Niigata sekitar tengah malam, lapor media tempatan.

Punca kebakaran bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan.

“Kami mengesahkan kematian empat orang,” kata jurucakap polis kepada AFP tanpa memberikan butiran lanjut.

Penyiar awam NHK melaporkan polis sedang mencari dua lagi pekerja, dan seorang lagi mangsa dihantar ke hospital selepas terhidu asap tetapi dalam keadaan sedar.

Anggota bomba masih berusaha untuk memadamkan kebakaran lapan jam selepas ia bermula, kata seorang pegawai di jabatan bomba tempatan.

“Kami menghantar sebanyak 22 jentera bomba ke lokasi dan anggota bomba masih lagi berusaha memadamkan api,” katanya.

Kilang itu dimiliki oleh Sanko Seika, salah satu pengeluar keropok beras terbesar Jepun dan mengendalikan barisan pengeluaran untuk menghasilkan makanan ringan yang popular.

Kebakaran yang membabitkan mangsa maut adalah luar biasa di Jepun, yang mempunyai standard bangunan yang ketat, dan jenayah kekerasan jarang berlaku.

Pada Disember, 25 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah klinik kesihatan mental di Osaka.

Seorang bekas pesakit klinik yang disyaki memulakan kebakaran itu meninggal dunia pada bulan yang sama sebelum polis boleh menyoal siasatnya.-AFP

Media Baharu