fb fb fb fb fb

Enggan terima vaksin, kira-kira 3,00 pekerja perbandaran New York bakal dipecat.

 

GAMBAR FILE




NEW YORK, 12 Februari- Bandaraya New York  bersedia untuk memecat kira-kira 3,000 pekerja perbandaran kerana gagal mematuhi tarikh akhir untuk mendapatkan vaksin terhadap COVID-19.

Pemecatan dijangka berlaku di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang semakin meningkat di Amerika Utara terhadap sekatan COVID-19 dan ketika beberapa negeri menarik balik arahan pemakaian pelitup muka.

New York memerlukan semua pekerja bandar, termasuk polis, bomba dan guru, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di bawah arahan yang diluluskan oleh bekas Datuk Bandar Bill de Blasio tahun lalu.

"Tanggungjawabnya jelas. Kami berkata, jika anda diupah, jika anda mendapat pekerjaan ini, anda perlu diberi vaksin. Jika anda tidak mematuhi peraturan, itu keputusan anda "kata pengganti de Blasio, Eric Adams, pada Khamis.

Seperti pemakaian mandatori pelitup muka, vaksinasi turut diwajibkan dan telah menjadi isu politik yang kontroversi di Amerika, dengan Texas yang diketuai Republikan bakal mengharamkannya.

Beratus-ratus pekerja yang menentang keperluan vaksin New York akan berarak di Dewan Bandaraya di Manhattan pada hari hari ini.

Kira-kira 95% daripada tenaga kerja perbandaran telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Jumlah 3,000 itu mewakili kurang daripada satu peratus daripada 370,000 pekerja perbandaran Big Apple.

Beberapa ribu yang lain masih tidak diberi vaksin tetapi telah memohon sama ada pengecualian perubatan atau agama untuk mengelakkan kehilangan pekerjaan.

Jumaat adalah hari terakhir bagi mereka mendapatkan vaksin selepas New York menamatkan arahan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup pada Khamis.

Beberapa negeri lain, termasuk California, New Jersey dan Massachusetts mengumumkan minggu ini pemansuhan arahan sama untuk perniagaan atau sekolah.

Tindakan itu dibuat ketika kerajaan Uncle Sam semakin bimbang tentang protes yang diketuai oleh pemandu lori terhadap sekatan coronavirus yang telah menutup ibu kota Kanada, Ottawa dan tiga lintasan sempadan negara itu.

Penyokong pergerakan itu di Amerika Syarikat telah menyeru konvoi pemandu lori untuk berkumpul di California pada awal Mac untuk perhimpunan dua hari sebelum bakal menuju ke ibu negara Washington.- AFP

Media Baharu