fb fb fb fb fb

Khemah lusuh, van usang jadi 'bilik berita' wartawan Palestin

Nyawa jadi taruhan - Wartawan Palestin melaporkan konflik di Gaza dari khemah sementara/Foto REUTERS

GAZA CITY, 12 OGOS – Wartawan Palestin di Gaza terpaksa bekerja dari khemah lusuh sementara di sebalik runtuhan bangunan serta van usang yang diubah suai menjadi bilik berita bergerak.

Mereka sentiasa bersedia dengan kamera bagi merakam penderitaan penduduk di wilayah itu.

Bagi wartawan Palestin, kerja ini bukan sekadar tugasan, tetapi perjuangan untuk memastikan dunia tahu apa yang berlaku di tanah air mereka, walaupun nyawa menjadi taruhan.

Di Khan Younis, Ezz El-Din Al-Masry, seorang wartawan bebas dan pembikin dokumentari, hanya tidur beralaskan tilam nipis di bawah panas terik, dengan komputer riba, kamera dan tripod disusun rapi di sebelahnya.

“Setiap kali berpindah, saya bukan saja bawa kamera dan komputer, tapi juga harapan keluarga. Saya cari tempat yang ada elektrik dan internet untuk bekerja, tapi hati tetap resah memikirkan keselamatan mereka,” katanya perlahan.

Ungkapan “Journalism is not a crime” yang terpampang di pelbagai sudut Gaza menjadi saksi bisu kepada perjuangan wartawan tempatan.

Mereka terpaksa hidup dan bekerja dalam keadaan serba kekurangan di tengah peperangan dan pemindahan berulang kali.

“Mesej kami kepada dunia dan komuniti antarabangsa adalah untuk mendesak pihak pendudukan Israel memberi perlindungan kepada wartawan Palestin,” kata koresponden Al Jazeera di Bandar Gaza, Moamen Al-Sharafi.

Pada Ahad (10 Ogos), serangan udara Israel di kawasan Hospital Al Shifa, Gaza, meragut nyawa enam wartawan termasuk koresponden kanan Al Jazeera, Anas Al Sharif.

Serangan itu melibatkan insiden paling tragis membabitkan pengamal media sejak serangan Israel yang berlarutan lebih 22 bulan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan, sejak konflik tercetus pada 7 Oktober 2023, seramai 238 wartawan terbunuh.

Sementara itu, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) merekodkan sekurang-kurangnya 186 kematian wartawan dalam konflik berkenaan.

Israel menafikan sengaja menyasarkan wartawan, sebaliknya mendakwa ramai antara mereka adalah anggota Hamas yang menyamar sebagai pengamal media.

Serangan tanpa henti Israel telah meragut lebih 61,000 nyawa penduduk Palestin serta memusnahkan sebahagian besar wilayah itu. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN