fb fb fb fb fb

Ketua Tentera Sudan ikrar bekerjasama dalam siasatan jenayah perang

(Karim Khan/AFP)

KHARTOUM, 25 Ogos- Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata Sudan telah menjanjikan "kerjasama penuh" dalam siasatan jenayah perang yang dilakukan di wilayah Darfur bawah Presiden yang diguling, Omar al-Bashir.

Karim Khan menyatakannya selepas bertemu Ketua Tentera Abdel Fattah al-Burhan yang merampas kuasa tahun lalu dan selepas melawat kem di Darfur, yang menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu menyaksikan 300,000 orang terbunuh semasa konflik yang bermula pada 2003.

"Kata-kata yang baru saya dengar daripada pengerusi majlis berdaulat itu sangat positif," kata Khan, yang telah berada di negara Afrika timur laut itu sejak Sabtu, kepada pemberita.

"Cabaran sekarang ialah menterjemahkannya kepada tindakan," tambah beliau.

Bashir, 78 tahun, yang berada dalam tahanan di Khartoum sejak penyingkirannya pada 2019, dikehendaki oleh ICC selama lebih sedekad atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Darfur.

Dua bekas pembantu lain juga dikehendaki oleh mahkamah yang berpangkalan di The Hague untuk menghadapi tuduhan jenayah perang.

Burhan, yang merupakan jeneral kanan bawah Bashir, telah menjanjikan "kerjasama penuh" dan komitmennya untuk "keadilan untuk rakyat di Darfur", kata Khan semasa mengakhiri ucapannya.

Beliau menekankan kepentingan penyiasatan bebas dan boleh dipercayai. -AFP

(Sidang akhbar ketua pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa Karim Khan di ibu negara
Sudan Khartoum/AFP)

Media Baharu