PORT SUDAN 13 Ogos- Sudan dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan pertemuan di Switzerland bagi membincangkan cadangan damai tajaan Washington terhadap negara yang dilanda perang dan kelaparan itu.
Pertemuan melibatkan Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dan Penasihat Kanan Amerika Syarikat untuk Afrika, Massad Boulos.
Menurut sumber kanan kerajaan Sudan, kedua-dua pemimpin berkenaan telah mengadakan pertemuan selama tiga jam pada Isnin lepas.
"Mereka membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh AS untuk gencatan senjata menyeluruh di Sudan dan penyampaian bantuan kemanusiaan," katanya.
Pertemuan itu merupakan penglibatan peringkat tertinggi dalam beberapa bulan, dalam usaha Washington meneruskan cadangan damainya ke atas Sudan.
Sejak April 2023, berpuluh-puluh ribu nyawa melayang akibat perang melibatkan tentera Sudan dengan pasukan separa tentera, RSF.
Konflik itu turut mewujudkan krisis kelaparan dan perpindahan terbesar di dunia.
Usaha pengantaraan sebelumnya oleh AS dan Arab Saudi sejak dua tahun lalu menemui gagal dalam mendapatkan gencatan senjata.
Peperangan itu telah memecah belah negara, dengan tentera Sudan menguasai utara, timur dan tengah, manakala RSF mengawal hampir seluruh Darfur sementara sekutunya di bahagian selatan.
Untuk rekod, hampir 25 juta orang di seluruh Sudan mengalami masalah kekurangan makanan yang teruk. -AFP