NEW DELHI, 11 Ogos – Mahkamah Agung India telah mengarahkan pihak berkuasa Delhi dan kawasan sekitarnya agar memindahkan semua anjing liar ke pusat perlindungan dalam tempoh lapan minggu.
Langkah ini diambil susulan peningkatan insiden serangan anjing jalanan, termasuk kes yang membawa maut, terutamanya melibatkan kanak-kanak.
Menurut statistik kerajaan India, sebanyak 430,000 kes gigitan anjing dilaporkan berlaku hanya pada bulan Januari lalu, berbanding 3.7 juta kes sepanjang tahun 2024.
Bagaimanapun, arahan mahkamah ini menerima kritikan hebat daripada aktivis haiwan dan pencinta alam sekitar. Mereka mempersoalkan keupayaan infrastruktur sedia ada untuk menampung jumlah anjing yang begitu besar.
"Tiada pusat perlindungan yang mampu menampung ribuan anjing jalanan di Delhi, apatah lagi seluruh wilayah Delhi NCR," kata Naib Presiden dan pengasas bersama Persatuan Friendicoes, Geeta Sheshamani.
Sementara itu, pakar perubatan mengesahkan peningkatan kes gigitan anjing, terutama dalam kalangan kanak-kanak, namun menyatakan bahawa kes rabies kekal rendah berikutan kesedaran terhadap vaksinasi.
Berdasarkan kajian "State of Pet Homelessness" oleh Mars Petcare, India mempunyai 52.5 juta anjing jalanan, manakala hanya 8 juta anjing ditempatkan di pusat perlindungan. Delhi sahaja dianggarkan mempunyai sekitar 1 juta anjing liar.
Mahkamah Agung India mula mengambil tindakan susulan insiden menggigit yang berulang, sekali gus mencetuskan perdebatan nasional antara keperluan menjaga keselamatan awam dan hak kebajikan haiwan. - REUTERS