fb fb fb fb fb

Lebih 70 dikhuatiri terkorban akibat banjir besar di India

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) sedang giat mencari mangsa yang tertimbus, dibantu anjing pengesan dan radar penembus tanah/Foto AFP

NEW DELHI, 13 Ogos – Sekurang-kurangnya 68 individu masih hilang selepas lebih seminggu bencana banjir lumpur melanda bandar peranginan di Himalaya, menjadikan jumlah korban keseluruhan berkemungkinan meningkat kepada 70 orang.

Pasukan penyelamat dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) sedang giat mencari mangsa yang tertimbus, dibantu oleh anjing pengesan dan radar penembus tanah.

Bagaimanapun jurucakap NDRF, Gambhir Singh Chauhan berkata, usaha menyelamat berdepan cabaran apabila air bawah tanah memancut keluar sewaktu kerja-kerja penggalian dijalankan.

"Anjing telah mengesan beberapa lokasi yang mungkin ada mangsa, namun apabila kami mula menggali, air mula keluar dari bawah tanah," katanya.

Bencana pada 5 Ogos lalu itu berlaku di bandar Dharali di negeri Uttarakhand, menyebabkan bandar itu lumpuh ditenggelami lumpur dan runtuhan. Setakat ini, empat kematian telah disahkan, sementara puluhan lagi masih belum ditemukan.

Rakaman video oleh mangsa yang terselamat menunjukkan arus deras berlumpur menghanyutkan blok-blok apartmen bertingkat dalam sekelip mata.

Lebih 100 orang dilaporkan hilang sejurus selepas tragedi itu, tetapi kesukaran komunikasi dan jalan raya yang musnah menyukarkan pengesahan. Terkini, kerajaan tempatan menyenaraikan 68 orang sebagai masih hilang, termasuk 44 warga India, 22 warga Nepal, dan 9 anggota tentera.

Punca kejadian belum disahkan, tetapi saintis percaya hujan lebat dan pencairan glasier menyebabkan runtuhan bongkah ais dan batu, mencetuskan arus air berbahaya.

Glasier Himalaya yang menjadi sumber air kepada hampir dua bilion penduduk kini mencair lebih cepat berbanding sebelumnya, meningkatkan risiko bencana seperti ini. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI