GUATEMALA CITY, 13 Ogos – Mahkamah Guatemala pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara antara enam hingga 25 tahun terhadap enam bekas pegawai kerajaan berhubung tragedi kebakaran di sebuah pusat perlindungan remaja pada 2017 yang mengorbankan 41 nyawa.
Hakim memutuskan semua tertuduh bersalah atas pelbagai pertuduhan termasuk penyalahgunaan kuasa dan kematian akibat kecuaian.
"Enam orang telah disabitkan atas pelbagai jenayah, termasuk penyalahgunaan kuasa, kegagalan menjalankan tugas, penderaan terhadap kanak-kanak bawah umur dan pembunuhan akibat kecuaian," kata peguam kepada keluarga mangsa, Edgar Perez.
Kebakaran itu berlaku di rumah perlindungan "Hogar Seguro Virgen de la Asuncion", sebuah institusi yang dikendalikan oleh kerajaan. Mangsa kebanyakannya adalah remaja perempuan yang dikurung dalam bilik sebagai hukuman.
"Semua yang didakwa dan disabitkan adalah penjawat awam atau kakitangan kerajaan. Maka, berdasarkan Perlembagaan, tanggungjawab terletak pada pihak kerajaan.
"Selain itu, Guatemala juga telah menandatangani dan mengesahkan perjanjian antarabangsa berkaitan perlindungan kanak-kanak," tambah Perez.
Kebakaran dipercayai berpunca oleh tindakan para penghuni yang telah membakar tilam sebagai tanda protes terhadap layanan buruk, termasuk tuduhan penderaan seksual oleh kakitangan.
Namun, pintu telah dikunci oleh kakitangan, menyebabkan mangsa tidak dapat melarikan diri apabila api marak.
Tragedi ini mengejutkan negara dan mencetuskan protes besar-besaran, siasatan panjang, serta tuduhan bahawa terdapat unsur kekebalan yang dilindungi oleh negara.
Antara yang didakwa termasuk pegawai tinggi kebajikan sosial, pengawal keselamatan, dan kakitangan pusat perlindungan berkenaan. - AFP