SEOUL, 13 Ogos - Bekas Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon Hee, telah ditahan lewat malam Selasa atas pelbagai pertuduhan termasuk manipulasi saham, rasuah, dan pelanggaran undang-undang dana politik.
Menurut kenyataan daripada pihak pendakwa raya, penahanan Kim, 52, dilakukan selepas Mahkamah Daerah Pusat Seoul meluluskan permohonan waran tangkap terhadapnya, dengan alasan terdapat risiko pengubahan atau pemusnahan bukti.
“Waran tangkap terhadap Kim telah dikeluarkan,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan ringkas.
Dengan penahanan itu, Korea Selatan kini mempunyai bekas Presiden dan bekas Wanita Pertama yang kedua-duanya dipenjarakan. Ia merupakan kes pertama seumpama itu dalam sejarah negara.
Penahanan itu juga menandakan kejatuhan dramatik bagi pasangan tersebut selepas pengisytiharan undang-undang tentera oleh bekas Presiden, Yoon Suk Yeol pada 3 Disember tahun lalu.
Yoon didakwa dan disingkirkan daripada jawatannya pada April lalu susulan pengisytiharan undang-undang tentera, mendorong Korea Selatan mengadakan pilihan raya mengejut pada Jun lepas.
Bekas Presiden itu kini ditahan atas kesalahan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut.
Minggu lalu, Kim menjalani soal siasat selama berjam-jam oleh pendakwa raya, yang memfailkan waran tangkapnya pada hari berikutnya. Kontroversi telah lama menyelubungi Kim, dengan persoalan yang berlarutan mengenai dakwaan peranannya dalam manipulasi saham. - AFP