fb fb fb fb fb

Taufan Podul mengganas, Taiwan pindah ratusan penduduk

Di daerah timur Hualien, hampir 700 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga/Foto AFP

TAITUNG, 13 Ogos - Taufan Podul semakin menguat dan menghampiri pantai tenggara Taiwan pada Rabu, membawa angin laju mencecah 191 kilometer sejam (km/j).

Menurut pihak berkuasa kaji cuaca, ombak besar membadai kawasan pesisir, khususnya berhampiran bandar Taitung, yang dijangka menjadi lokasi pendaratan ribut tersebut.

Pihak berkuasa Taiwan pada Selasa (12 Ogos) telah bertindak pantas melaksanakan pemindahan ratusan penduduk yang berada dalam laluan taufan, sementara beberapa kawasan berhampiran masih bergelut untuk pulih daripada kesan taufan-taufan terdahulu.

Taiwan, yang sering terdedah kepada taufan dari Lautan Pasifik, lazimnya menerima kesan paling besar di sepanjang pantai timur yang bergunung-ganang dan kurang berpenduduk.

Di daerah timur Hualien, hampir 700 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan limpahan air dari empangan semula jadi yang terbentuk selepas kejadian tanah runtuh dalam taufan sebelum ini.

Selepas mendarat di Taitung, Taufan Podul dijangka akan bergerak ke pantai barat Taiwan yang lebih padat dengan penduduk, sebelum menuju ke wilayah Fujian di selatan China dalam beberapa hari akan datang. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI