fb fb fb fb fb

Ketua suku Kayapo terima anugerah Liberatum di London

Ketua suku kaum asal Kayapo dari Brazil, Raoni Metuktire / AFP

LONDON, 16 Oktober - Ketua suku kaum asal Kayapo dari Brazil, Raoni Metuktire, yang juga aktivis alam sekitar terkenal dunia, menerima Liberatum Cultural Honour pada Rabu di London sebagai pengiktirafan terhadap perjuangannya mempertahankan hak masyarakat pribumi dan kelestarian hutan Amazon.

Anugerah tahunan yang dianjurkan oleh organisasi diplomasi budaya global, Liberatum, itu diberikan kepada individu yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang kreativiti, sosial dan kemanusiaan.

Edisi ke-13 tahun ini menobatkan Raoni atas komitmennya yang berterusan terhadap kedaulatan masyarakat pribumi, pemuliharaan Amazon, serta kesedaran tentang hubungan rapat antara manusia dan alam semula jadi.

Anugerah berkenaan disampaikan beberapa minggu sebelum Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (COP30) yang akan berlangsung di Belem, Brazil dari 10 hingga 21 November, di mana Raoni dijadualkan hadir sebagai peserta utama.

“Saya akan hadir di COP30 untuk menyeru para pemimpin dunia agar terus menyokong perlindungan hutan, berdiri bersama rakyat saya menentang pihak yang cuba merampas tanah kami dan mengaut hasil bumi sesuka hati,” kata Raoni yang kini berusia 93 tahun.

Majlis anugerah itu turut dihadiri beberapa tokoh ternama termasuk pelakon Britain Benedict Cumberbatch, penyanyi pemenang Grammy Anitta, serta aktivis Nicaragua Bianca Jagger.

Turut hadir ialah pelakon dan dermawan Britain, Trudie Styler, pengasas bersama Rainforest Foundation Fund bersama suaminya, pemuzik terkenal Sting.

Styler dalam ucapannya mengenang persahabatan mereka dengan Raoni, berkata,
“Dia pernah berkata, rakyat saya sedang sakit. Ada banyak asap. Apa yang berlaku di tanah saya hari ini akan memberi kesan kepada kamu esok. Dan selepas 37 tahun, kata-katanya terbukti benar.”

Sebelum majlis anugerah itu, Raoni turut mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana St. James.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE