fb fb fb fb fb

Ketua Staf Tentera Libya maut dalam nahas pesawat

Ketua Staf Tentera Libya Mohammed Ali Ahmed Al-Haddad (kiri) maut dalam nahas pesawat menuju ke Tripoli/ REUTERS

ANKARA, 24 Disember - Perdana Menteri Libya Abdulhamid Dbeibah, mengesahkan berita kematian Ketua Staf Tentera Libya Mohammed Ali Ahmed Al-Haddad dalam nahas pesawat pada Selasa selepas berlepas dari Ankara, ibu negara Turkiye.

Al-Haddad dilaporkan sempat mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Turkiye, Selcuk Bayraktaroglu, pada pagi Selasa sebelum kejadian berlaku.

Terdapat beberapa serpihan pesawat ditemukan di kawasan padang di Haymana, Ankara berhampiran lokasi pesawat yang membawa Al-Haddad, dan empat individu lain.

Sebelum kejadian hubungan radio dengan pesawat yang menuju ke Tripoli itu terputus tidak lama selepas berlepas dari ibu negara Turkiye, Ankara.

Menteri Dalam Negeri Turkiye Ali Yerlikaya menerusi hantaran X, pada Selasa (23 Disember) memaklumkan pesawat berlepas pada pukul 5.10 petang waktu tempatan dan terputus hubungan radio pada pukul 5.52 petang.

Pesawat dilaporkan membuat permintaan untuk melakukan pendaratan kecemasan ketika berada di kawasan Haymana, Ankara, namun tiada sambungan diperolehi selepas itu.

Yerlikaya memaklumkan terdapat empat individu lain yang turut berada di dalam pesawat itu. Menerusi data penjejakan penerbangan menunjukkan penerbangan lain dialihkan daripada Lapangan Terbang Esenboga, Ankara.

Sebelum ini Kementerian Pertahanan Turkiye mengumumkan Ketua Staf Tentera Libya itu akan melakukan lawatan ke Turkiye termasuk pertemuan dengan Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler, rakan sejawatnya dari Turkiye, Selcuk Bayraktaroglu, serta pegawai kanan tentera Turkiye lain.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI