fb fb fb fb fb

Ketua Reporters Without Borders , Christophe Deloire meninggal dunia

Christophe Deloire / AFP

PARIS, 9 Jun- Christophe Deloire, ketua kumpulan kebebasan akhbar yang berpangkalan di Paris, Reporters Without Borders (RSF), meninggal dunia pada Sabtu pada usia 53 tahun.

RSF menerusi satu kenyataan kepada AFP memaklumkan, Deloire meninggal dunia akibat kanser.

Seorang bekas wartawan akhbar dan televisyen, beliau telah menerajui kumpulan itu sejak 2012, mengubahnya "menjadi juara global untuk mempertahan garis kewartawanan," kata kenyataan itu.

"Kewartawanan adalah perjuangan hidupnya, yang dia lakukan dengan penuh keyakinan," kata RSF.

Dalam satu hantaran di X, Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, "kewartawanan tersemat di hati Deloire."

Beliau berkata Deloire telah berjuang "tanpa penat" untuk kebebasan menyalurkan maklumat dan perdebatan demokratik.

"Perjuangan sejagatnya tetap milik kita," tambahnya.

Sementara itu, Committee to Protect Journalists yang berpangkalan di New York berkata ia sangat sedih dengan pemergian Deloire.

Phil Chetwynd, Pengarah Berita Global AFP, berkata Deloire "adalah penyokong kebebasan akhbar yang tidak kenal lelah".

"Dia mempunyai tenaga dan karisma yang sangat besar, dan merupakan penyokong kuat untuk profesion kami pada masa kerja kami dan nilai kami semakin dipersoalkan," kata Chetwynd.

Kumpulan aktivis itu, yang dilancarkan pada 1985 di bandar Montpellier, selatan Perancis oleh empat wartawan, telah menjadi duri dalam pihak rejim autokratik dan despotik di seluruh dunia yang lebih suka menutup mulut media.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE