fb fb fb fb fb

Ketua PBB rayu negara penderma terus bantu UNRWA

Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres / AFP

NEW YORK. 28 Januari- Ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merayu negara penderma "menjamin kesinambungan" kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Ini berikutan selepas beberapa negara menghentikan pembiayaan apabila Israel mendakwa kakitangan UNRWA terbabit dalam serangan 7 Oktober.

"Walaupun saya memahami kebimbangan mereka, tetapi saya sendiri berasa ngeri dengan dakwaan ini. Jadi saya sangat merayu kepada kerajaan yang menggantung sumbangan untuk sekurang-kurangnya menjamin kesinambungan operasi UNRWA," katanya dalam satu kenyataan.

Perselisihan antara Israel dan UNRWA susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) PBB bahawa Israel mesti menghalang kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam konflik dan membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza.

Guterres berkata, tindakan kakitangan UNRWA pasti ada akibatnya.

"Tetapi puluhan ribu lelaki dan wanita yang bekerja berada dalam situasi paling berbahaya bagi kerja kemanusiaan dan tidak seharusnya dihukum.

"Keperluan mendesak penduduk Gaza perlu mereka penuhi," katanya.

Guterres mengesahkan 12 kakitangan UNRWA yang disebut dalam tuduhan itu sedang disiasat oleh PBB dengan sembilan dipecat, seorang meninggal dunia dan identiti dua yang lain sedang dikenal pasti.

Antara negara penderma utama kepada UNRWA telah menggantung sementara pembiayaan berikutan tuduhan itu adalah Amerika Syarikat, Britain, Kanada dan Switzerland.

Dalam pada itu, Hamas membidas ancaman Israel terhadap UNRWA dan menggesa PBB serta organisasi antarabangsa lain supaya tidak menyerah diri kepada ancaman dan pemerasan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI