fb fb fb fb fb

Ketua ICRC, Rusia bincang keperluan lindungi orang awam Ukraine

(Penduduk tempatan berkumpul berhampiran treler membawa kotak mengandungi makanan dan produk kebersihan diri semasa
pengagihan bantuan kemanusiaan daripada
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di bandar Donetsk/REUTERS)

MOSCOW, 24 Mac- Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), hari ini berkata beliau dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, sudah mengadakan perbincangan mengenai keperluan untuk melindungi orang awam, sepanjang operasi Moscow di Ukraine.


"Kami juga memperhalusi perundangan kemanusiaan antarabangsa dan peruntukan Konvensyen Geneva berkaitan pergolakan bahawa orang awam harus dilindungi," kata Peter Maurer pada sidang media bersama Lavrov.

Maurer kini mengadakan kunjungan rasmi ke Moscow selepas berada di Ukraine selama lima hari, minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya dan Lavrov mengadakan perbincangan yang sangat baik, malah akan membangkitkan keperluan menghormati Konvensyen Geneva semasa konflik ketika mengadakan pertemuan kelak dengan Kementerian Pertahanan Russia.

Katanya, konvensyen itu antara lain menggariskan kebimbangan mengenai nasib tahanan perang dan orang awam yang diberkas di Russia serta Ukraine.

Turut dibangkitkan ialah isu mayat orang awam dan tentera yang perlu dihantar pulang serta dibawa kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

(Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Peter Maurer (kiri) dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov,
pada sidang media di Moscow, Russia/AFP)

Menteri Luar Rusia itu menaruh harapan bahawa usaha ICRC yang tidak memihak kepada sesiapa dan dilaksanakan pihak bertindak sebagai orang tengah bakal membuahkan hasil.

"Malangnya, kita tidak mempunyai sebarang asas khusus untuk meletakkan sandaran bahawa pihak berkuasa Kiev akan mengambil pendirian ke arah memenuhi tuntutan ini," katanya.

Maurer berkata ICRC komited untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas dengan konflik melanda kedua-dua kawasan dikuasai Kerajaan Ukraine dan puak pemisah disokong Rusia.

"Kita berdepan keadaan getir ketika ini di Ukraine apabila penduduk terdedah kepada kesan operasi ketenteraan di kawasan bandar, mereka terperangkap antara pihak bertelagah," katanya.

Maurer berkata, rundingan antara Ukraine dan Russia setakat ini menunjukkan perkembangan positif, terutama berkaitan perjanjian untuk kepentingan orang awam, namun ia belum mencukupi.

Ditanya mengenai krisis kemanusiaan di kawasan dikepung di pelabuhan Mariupol, beliau berkata, bandar terbabit kini dalam penelitian komuniti antarabangsa.

"Tetapi saya ingin membangkitkan bahawa ia bukan satu-satunya tempat yang menjadi tumpuan ramai ketika ini.

"Sukar untuk kita bercakap mengenai asas atau pemindahan di Mariupol atau mana-mana tempat lain sekiranya kita tidak mempunyai perjanjian utuh dan terperinci bersama tentera di lapangan," katanya.

Sebelum mengadakan kunjungan rasmi ke Russia, Maurer memaklumkan bahawa pihaknya berharap rangkaian isu berhubung tahanan perang, mayat mangsa dan pengendalian pergolakan bakal melakar perkembangan positif. - AFP

Media Baharu