BEIJING, 31 Oktober- Ketua bahagian syarikat farmaseutikal multinasional gergasi AstraZeneca di China sedang disiasat di negara tersebut.
Leon Wang, Presiden AstraZeneca China, sedang "bekerjasama dengan siasatan berterusan oleh pihak berkuasa di negara ini", kata syarikat itu dalam kenyataan pada Rabu.
"Operasi kami di China masih diteruskan bawah kepimpinan Pengurus Besar AstraZeneca sekarang," tambah kenyataan tersebut.
Syarikat itu juga tidak menolak untuk bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan tersebut.
China merupakan pasaran penting bagi AstraZeneca, pembangun vaksin COVID-19 yang banyak digunakan di seluruh dunia semasa pandemik.
Pada September lau, syarikat itu mengesahkan beberapa pekerjanya sedang disiasat di China selepas laporan mengatakan mereka sedang disoal mengenai pengumpulan data dan import ubat yang mungkin menyalahi undang-undang.
Siasatan tersebut melibatkan lima pekerja semasa dan bekas pekerja syarikat , semuanya warganegara China dan diketuai oleh pihak berkuasa di bandar Shenzhen, selatan China, menurut Bloomberg.
Satu siasatan berkaitan pengumpulan data pesakit oleh syarikat itu, yang disyaki pihak berkuasa mungkin melanggar undang-undang privasi China, menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber yang arif tentang situasi tersebut.
Siasatan lain pula berkaitan import ubat kanser hati yang belum mendapat kelulusan di tanah besar China, menurut Bloomberg.
Syarikat yang beribu pejabat di United Kingdom itu mempunyai 90,000 pekerja di seluruh dunia.
Firma global semakin menghadapi persekitaran perniagaan yang sukar di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut kumpulan industri, dengan alasan kurangnya ketelusan dalam undang-undang data dan penahanan berpanjangan terhadap pekerja di negara tersebut.-AFP