fb fb fb fb fb

AS catat kes pertama babi dijangkiti selesema burung

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 31 Oktober- Seekor babi di sebuah ladang kecil di negeri Oregon, AS, diuji positif selesema burung H5N1, menjadikannya kes pertama seumpamanya di Amerika Syarikat, menurut kenyataan pegawai pada hari Rabu.

Jabatan Pertanian AS menyatakan babi tersebut didapati dijangkiti virus pada Selasa, empat hari selepas unggas di ladang yang sama diuji positif bagi virus yang sangat mudah berjangkit itu.

"Ladang ini bukan komersial, dan haiwan-haiwan ini diternak bukan bertujuan untuk bekalan makanan komersial," kata agensi itu dalam satu kenyataan. "Penemuan ini tidak menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan daging babi negara."

Pihak berkuasa telah membunuh babi tersebut dan empat ekor babi lain di ladang tersebut bagi memudahkan analisis diagnostik tambahan.

Dua daripada babi itu diuji negatif untuk selesema burung, manakala keputusan untuk dua yang lain masih belum diterima. Menurut agensi tersebut, babi yang dijangkiti itu tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.

Menurut kenyataan tersebut, haiwan ternakan dan unggas yang dijangkiti itu berkongsi tempat tinggal, peralatan, dan sumber air, yang mana faktor-faktor berkenaan telah memungkinkan penularan H5N1 antara spesies pada masa lalu.

Ladang itu telah dikuarantin untuk mengelakkan penyebaran virus lebih lanjut dan haiwan lain di ladang tersebut, termasuk biri-biri dan kambing, kini dalam pemantauan.

Pakar kesihatan awam meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan jumlah mamalia yang dijangkiti selesema burung, kerana peningkatan penularan boleh memberi peluang kepada virus untuk bermutasi kepada bentuk yang boleh berjangkit kepada manusia.

Bagaimanapun, ujian genetik daripada unggas yang dijangkiti di ladang Oregon "tidak menunjukkan sebarang perubahan pada virus H5N1 yang menunjukkan ia lebih mudah berjangkit kepada manusia," menurut USDA.

USDA menambah pihaknya sedang menjalankan penjujukan genom terhadap sampel babi tersebut, dengan keputusan masih belum diterima.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE