RAMALLAH, 2 Februari- Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan seorang warga Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel di Tebing Barat pada Ahad, sehari selepas siri serangan udara di wilayah yang diduduki itu.
Bulan lalu, tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran di Tebing Barat yang dinamakan Iron Wall bagi menumpaskan kumpulan bersenjata Palestin di kawasan Jenin, yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat pejuang bersenjata.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, seorang lelaki berusia 73 tahun maut akibat tembakan Israel di kem pelarian berhampiran bandar Jenin.
Saksi melaporkan kehadiran besar-besaran tentera Israel pada pagi Ahad di sekitar bandar Tubas dan Tamun, terletak di tenggara Jenin.
Seorang wartawan AFP berkata tentera Israel telah menutup laluan keluar dari kem pelarian Faraa yang berdekatan dan melakukan pemeriksaan ke atas rumah penduduk. Beberapa dron turut dilihat berlegar di ruang udara.
Dalam satu kenyataan awal pagi Ahad, tentera Israel memaklumkan bahawa kumpulan taktikal mereka telah memulakan operasi di sekitar Tamun dan menemui senjata.
Selain itu, tentera Israel mengumumkan bahawa operasi tersebut diperluaskan ke lima buah kampung lain.
Pihak tentera turut mengedarkan risalah dalam bahasa Arab kepada penduduk setempat, menyatakan operasi itu bertujuan untuk menghapuskan penjenayah bersenjata yang menjadi tali barut Iran.
Kerajaan Israel sebelum ini menuduh Iran, yang menyokong kumpulan bersenjata di seluruh Timur Tengah termasuk Hamas di Gaza, cuba membekalkan senjata dan dana kepada militan di Tebing Barat.
Risalah yang diedarkan itu turut memberi amaran kepada penduduk agar tidak mendekati pasukan tentera Israel.-AFP