BAITULMAQDIS, 2 Februari- Sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah kenderaan di jalan pesisir barat kem Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza pada Ahad.
Pada awalnya, pasukan perubatan melaporkan seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan itu, namun kemudian mengesahkan bahawa mereka berjaya menyelamatkannya.
Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa serangan itu menyasarkan sebuah kenderaan yang disyaki bergerak ke arah utara Gaza di luar laluan pemeriksaan yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata.
“IDF (Tentera Israel) bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan dan akan terus mengambil tindakan yang perlu bagi menghalang sebarang ancaman segera terhadap anggota tentera kami,” kata kenyataan itu tanpa memberikan butiran mengenai kesan serangan atau jumlah mangsa.
Beberapa penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Israel mendakwa tenteranya hanya melepaskan tembakan terhadap individu yang disyaki membawa ancaman kepada pasukan mereka yang ditempatkan di kawasan tertentu di Gaza seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian berperingkat.
Hamas pula menyifatkan insiden tersebut sebagai pelanggaran terhadap gencatan senjata.
Dalam fasa pertama perjanjian, seramai 33 orang tebusan terdiri daripada kanak-kanak, wanita, warga emas serta individu yang sakit dan cedera dijadualkan dibebaskan.
Setakat ini, 18 orang telah dibebaskan. Bagaimanapun, lebih 60 tebusan lelaki yang berusia dalam lingkungan umur tentera masih ditahan sehingga rundingan fasa kedua dimuktamadkan.
Rundingan bagi fasa kedua, yang bertujuan untuk mencapai pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dan menamatkan peperangan, dijangka bermula selewat-lewatnya Selasa ini.-REUTERS