PORT-AU-PRINCE, 26 November- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) giat melaksanakan pemindahan kakitangannya dari Haiti berikutan peningkatan keganasan yang dicetuskan oleh kumpulan bersenjata yang kini menguasai sebahagian besar ibu kota di sini.
Menurut Kementerian Luar Negeri Panama, dua penerbangan kemanusiaan akan tiba di Panama City pada Selasa dan Rabu, membawa 22 penasihat polis beruniform antarabangsa dan dua pegawai PBB, dengan persinggahan maksimum selama 72 jam.
Penyelaras penduduk dan kemanusiaan PBB di Haiti, Ulrika Richardson, menyatakan dalam sidang media minggu lalu bahawa PBB sedang mengurangkan kehadiran mereka di Port-au-Prince akibat peningkatan mendadak keganasan bulan ini.
Sebahagian kakitangan akan dipindahkan ke wilayah lain di Haiti bagi memastikan kerja-kerja kemanusiaan dapat diteruskan.
Ketua Pejabat Bersepadu PBB di Haiti, Maria Isabel Salvador, berkata di X bahawa sehingga Isnin, seramai 1,527 daripada 1,725 kakitangan masih berada di Haiti.
"Kami tidak meninggalkan negara ini," katanya.
Organisasi kemanusiaan Amerika Syarikat, Mercy Corps, juga mengumumkan pemindahan sebahagian kakitangannya ke kawasan lain di luar Port-au-Prince.
Sementara itu, Doctors Without Borders telah menggantung operasi mereka di ibu kota kerana ancaman daripada pihak polis.
Penganalisis menganggarkan bahawa 80% hingga 90% ibu kota kini dikuasai geng bersenjata, terutamanya menerusi pakatan yang dikenali sebagai Viv Ansanm.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan berkenaan memperluaskan serangan ke kawasan yang sebelum ini kurang terjejas.
Pada Oktober 2023, PBB meluluskan penempatan pasukan antarabangsa untuk membantu polis memulihkan keamanan selepas Haiti meminta bantuan setahun sebelum itu.
Namun, misi tersebut hanya sebahagian sahaja yang beroperasi dan berdepan kekurangan dana serta anggota.
Kerajaan Haiti kini meminta ia dinaik taraf menjadi misi pengaman, tetapi cadangan tersebut mendapat tentangan daripada China dan Rusia di Majlis Keselamatan PBB.
Menurut data PBB, lebih 40,000 penduduk di Port-au-Prince telah dipindahkan dalam tempoh 10 hari akibat keganasan, menjadikannya perpindahan terbesar sejak Januari tahun lalu.-REUTERS.