fb fb fb fb fb

Seoul dilitupi salji paling tebal dalam sejarah November

Foto AFP

SEOUL, 27 November- Ibu kota Korea Selatan, Seoul diselubungi salji paling lebat bagi November sejak rekod mula dicatatkan lebih 100 tahun lalu, menurut agensi cuaca negara.

Agensi Meteorologi Korea (KMA) melaporkan sebanyak 16.5 sentimeter (cm) salji telah turun sehingga pukul 7.00 pagi waktu tempatan pada Rabu, melebihi rekod sebelumnya iaitu 12.4cm yang dicatatkan pada 28 November 1972.

Amaran salji lebat telah dikeluarkan, meminta penduduk untuk tidak menggunakan kenderaan dan melakukan aktiviti luar serta berhati-hati terhadap insiden pokok tumbang.

Amaran seperti itu dikeluarkan apabila jumlah salji yang terkumpul mencapai 20cm atau lebih dalam tempoh 24 jam.

Salji lebat yang melanda seluruh negara menyebabkan punca kemalangan, akibat jalan licin. Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan.

Pokok-pokok yang tumbang menyebabkan gangguan bekalan elektrik, menjejaskan lebih 150 buah rumah di sekitar Seoul pada waktu pagi.

Beberapa jalan utama ditutup untuk kerja penyelenggaraan, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, sementara sekurang-kurangnya 22 penerbangan domestik dibatalkan dan beberapa penerbangan lain mengalami kelewatan, menurut Kementerian Pengangkutan.

Salji pertama musim ini di Seoul juga mencatat rekod paling tebal untuk bulan November sejak tahun 1907.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menggesa pegawai kerajaan untuk meminimumkan potensi kerosakan dan kesulitan kepada orang ramai akibat salji lebat, dengan jangkaan salji terus turun sehingga pagi Khamis.

Menurut Pengarah Bahagian Ramalan Meteorologi Seoul, Youn Ki-han, fenomena salji lebat tersebut disebabkan perbezaan suhu yang ketara antara permukaan laut dan udara sejuk. - AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM