DHAKA, 19 Disember - Kerajaan sementara Bangladesh pada Jumaat menyeru rakyat supaya menolak keganasan ketika pasukan polis dan separa tentera dikerahkan di seluruh Dhaka dan bandar lain susulan protes berhubung pembunuhan seorang pemimpin belia popular, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya ketegangan baharu menjelang pilihan raya nasional yang mana beliau dijangka bertanding.
Walaupun keadaan dilaporkan kembali tenang di sebahagian besar negara pada pagi Jumaat, penunjuk perasaan yang membawa bendera kebangsaan dan plakad terus mengadakan demonstrasi di Shahbagh, tengah Dhaka, sambil melaungkan slogan dan berikrar tidak akan pulang sehingga keadilan ditegakkan.
Penduduk di negara majoriti Muslim Asia Selatan yang mempunyai populasi 173 juta itu menyatakan kebimbangan bahawa kemungkinan berlaku keganasan baharu.
Parti Warganegara Kebangsaan, yang dibentuk oleh pelajar yang mengetuai protes sehingga memaksa bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meninggalkan negara tahun lalu, turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya keganasan pada hari tersebut.
Bagaimanapun, hampir 1,500 orang dilaporkan berhimpun secara aman di masjid nasional di Dhaka selepas solat Jumaat bagi menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Khelafat Majlis, sebuah parti politik Islam.-REUTERS