fb fb fb fb fb

Kesemua 22 mayat nahas pesawat Nepal berjaya ditemukan

POKHARA, 31 Mei - Jasad terakhir mangsa tragedi pesawat penumpang Nepal telah ditemukan pagi Selasa, menjadikan kesemua 22 mangsa nahas berjaya ditemui.

“Semua mayat kini telah ditemui,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Deo Chandra Lal Karn kepada AFP.

Pesawat Tara Air hilang pada pagi Ahad sejurus berlepas dari bandar Pokhara, Nepal menuju ke Jomsom di daerah Mustang.

Seramai 19 penumpang, termasuk 13 warga Nepal, empat warga India dan dua warga Jerman berada di dalam penerbangan itu bersama tiga anak kapal.

Tentera Nepal menemui lokasi nahas termasuk 21 mayat pada pagi Isnin dan 10 jasad telah diterbangkan ke Kathmandu pada hari yang sama.

Cuaca buruk menghalang operasi menyelamat dibuat dengan segera.

Kira-kira 60 orang terlibat dalam misi pencarian itu, termasuk tentera, polis, malim gunung dan penduduk tempatan, yang kebanyakannya mendaki bukit berbatu-batu untuk ke sana.

Siasatan awal mendapati keadaan cuaca buruk menyebabkan pesawat jenis twin otter itu terhempas di kawasan berbukit di daerah Mustang Nepal, tetapi siasatan penuh tragedi berkenaan akan dilakukan pasukan penyiasat lima anggota.

Menurut laman web Rangkaian Keselamatan Penerbangan, pesawat itu adalah buatan de Havilland dari Kanada dan melakukan penerbangan pertamanya lebih 40 tahun lalu.

Tara Air ialah anak syarikat Yeti Airlines, syarikat penerbangan domestik milik persendirian yang menyediakan perkhidmatan ke banyak destinasi terpencil di seluruh Nepal.

Rekod menunjukkan penerbangan itu mengalami kemalangan maut terakhir pada 2016 di laluan yang sama apabila sebuah pesawat dengan 23 penumpang terhempas ke lereng gunung.

Industri udara Nepal telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membawa barangan dan penumpang antara kawasan yang sukar dicapai serta pengembara dan pendaki asing.

Tetapi ia telah dibelenggu oleh keselamatan yang lemah kerana latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi.

Kesatuan Eropah telah melarang semua syarikat penerbangan Nepal dari ruang udaranya atas faktor keselamatan.

Negara Himalaya itu juga mempunyai beberapa landasan paling terpencil dan rumit di dunia, diapit oleh puncak yang dilitupi salji mendatangkan cabaran sukar buat juruterbang untuk melakukan pendaratan.

Cuaca juga boleh berubah dengan cepat di pergunungan, mewujudkan keadaan penerbangan yang berbahaya.

Pada Mac 2018, sebuah pesawat US-Bangla Airlines terhempas berhampiran lapangan terbang antarabangsa Kathmandu membunuh 51 orang dan mencederakan 20 orang.

Kemalangan paling meragut nyawa di Nepal sejak 1992, pesawat Pakistan International Airlines yang membawa 167 penumpang, maut apabila pesawat itu terhempas ketika menghampiri lapangan terbang Kathmandu.

Hanya dua bulan sebelum itu sebuah pesawat Thai Airways terhempas berhampiran lapangan terbang sama dengan mengorbankan 113 orang. - AFP

 


(Foto AFP)

Media Baharu