fb fb fb fb fb

Keselamatan wartawan jadi keutamaan dalam liputan zon konflik

Keselamatan wartawan jadi keutamaan dalam liputan zon konflik

SIEM REAP, 31 Ogos – Kefahaman serta kemahiran pengurusan keselamatan ketika melaporkan berita, khususnya di zon konflik dan bencana, amat dititikberatkan bagi memastikan ketepatan maklumat serta mengelakkan penyebaran panik, berita palsu atau disinformasi.

Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Penerangan Kemboja, Dr. Alfin Sles berkata pendekatan keselamatan dan mitigasi risiko penting dalam membantu wartawan mendapatkan maklumat benar di lapangan.

“Hanya wartawan yang turun ke barisan hadapan sahaja dapat melihat sendiri dan melaporkan maklumat sahih. Keselamatan sangat penting, terutama bagi mereka yang bekerja di kawasan konflik. Tanpa keselamatan, masyarakat tidak akan mendapat maklumat berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Bengkel Serantau dan Lawatan Kajian Wartawan mengenai Pengurusan Keselamatan dan Risiko Zon Konflik, di sini hari ini.

Bengkel selama lima hari bermula 27 hingga 31 Ogos itu menghimpunkan 35 pengamal media dari enam negara – Malaysia, China, Indonesia, Singapura, Vietnam serta Kemboja selaku tuan rumah.

3108 LNR KEMBOJA PENGURUSAN RISIKO PELAPORAN 2Timbalan Setiausaha Negara, Kementerian Penerangan Kemboja, Dr. Alfin Sles

Menurut Dr. Alfin, amalan keselamatan yang dibincangkan bukan sahaja relevan untuk liputan konflik, malah turut boleh diaplikasikan dalam laporan berkaitan bencana alam, krisis kesihatan awam dan situasi kecemasan lain.

Program itu juga memberi pendedahan kepada wartawan untuk menilai semula prosedur keselamatan dan protokol pengurusan risiko ketika tugasan lapangan.

Beliau menegaskan, keselamatan wartawan merupakan asas penting kepada kebebasan bersuara dan kebebasan media.

“Memperjuangkan keselamatan wartawan sejajar dengan Pelan Tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keselamatan wartawan, selain menyokong strategi pembangunan media nasional Kemboja bagi 2024 hingga 2028.

"Atas dasar itu, Kementerian Penerangan menganjurkan bengkel ini untuk memperkukuh protokol keselamatan dan piawaian pelaporan,” ujarnya.

Dr. Alfin berkata, platform tersebut turut menjadi peringatan kepada wartawan agar sentiasa mengemas kini semula langkah keselamatan kerana kebanyakan mereka cenderung terleka dengan rutin tugasan harian.

“Kami melihat para peserta mengaplikasikan ilmu yang dipelajari – daripada pemakaian identifikasi media dan vest keselamatan yang betul, hinggalah mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di lapangan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, Kemboja merancang untuk terus menganjurkan bengkel seumpama itu sebagai bukti komitmen terhadap kebebasan media, kerjasama serantau serta amalan profesional dalam melindungi wartawan di zon berisiko tinggi.

Sepanjang program, peserta bukan sahaja mengikuti latihan teori, malah menyertai lawatan kajian ke kawasan terjejas akibat konflik sempadan Kemboja–Thailand, termasuk di Pusat Perlindungan Pelarian Pagoda Por 500, Preah Vihear, yang pernah menempatkan sehingga 22,000 pelarian semasa kemuncak krisis.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN